Bagi mereka yang sering bermain permainan yang berkonsepkan Battle Royale, pengenalan bot di dalam permainan seperti ini bukanlah sesuatu yang baharu, ada beberapa sebab pembangun menyertakan bot di dalamnya, pertama adalah untuk mencepatkan penantian sesi permainan dan kedua adalah untuk memberi peluang kepada pemain baharu mendapat “aksi” dan tidak terkorban terlalu cepat.
PUBG Corp minggu ini telah mengumumkan bahawa pihaknya akan mula menyertakan bot untuk PUBG versi PlayStation 4 dan Xbox One. Ini disebabkan mereka menyedari yang ramai pemain baharu sering mati awal, tidak membunuh mana-mana watak bahkan tidak melakukan serangan langsung.
“Dalam usaha untuk menyediakan lebih banyak cara bagi pemain untuk mengasah kemahiran mereka dan dapat menikmati sepenuhnya apa yang ditawarkan PUBG, kami telah memutuskan untuk memperkenalkan bot dengan Kemas kini 7.1.” jelas Joon H. Choi.
Menurut kenyataan Choi selaku pengurus utama projek tersebut, beliau menyatakan bahawa keputusan ini dibuat bertujuan untuk menolong pemain tersebut meningkatkan kebolehan mereka dan pada masa sama memberi mereka lebih keseronokan bermain.
Choi terus memperincikan tiga keutamaan utama yang dipertimbangkan oleh pasukan PUBG ketika memhasilkan bot versi konsol, termasuk meletakkan jejaring navigasi di seluruh peta supaya ianya dapat menghalang mereka daripada membunuh diri dengan cara terjun dari tebing dengan sendiri, seimbangkan sistem menembak yang membolehkan pemain untuk mengelakkan tembakan atau serangan daripada program tersebut, dan memastikan bot dapat mencari , looting, dan menggunakan dengan kelengkapan yang paling sesuai dalam setiap fasa permainan.
Pemain yang berpengalaman akan kurang berhadapan dengan bot untuk setiap permainan mereka. Manakala, untuk rank PUBG, tiada bot yang akan dimasukkan untuk mod itu.
PUBG sudah dikeluarkan untuk PlayStation 4, Xbox One dan PC. PUBG Mobile juga dikeluarkan untuk iOS dan Android.
Sebelum ini, PUBG Corp baru-baru ini mengumumkan bahawa pihaknya terpaksa membatalkan kejohanan utama mereka iaitu PUBG Global Series (PGS) untuk tahun ini disebabkan wabak pandemik Covid-19 yang melanda seluruh dunia ketika ini. Namun begitu, pihaknya menggantikan kejohanan tersebut dengan kejohanan baharu iaitu PUBG Continental Series (PCS) yang akan dianjur sepenuhnya secara dalam talian.
PUBG Gantikan Kejohanan Global Series Dengan Acara Atas Talian