The Cikgu Life merupakan sebuah permainan papan yang memberikan gambaran sebenar tentang suasana di dalam tipikal bilik darjah di negara ini. Selain itu, permainan papan ini juga bertujuan untuk memperlihatkan isu dan cabaran yang perlu dihadapi oleh setiap guru ketika mengajar di dalam kelas.

Pencipta yang menghasilkan permainan ini terdiri daripada 4 orang guru yang bertemu di Sarawak ketika menghadiri sebuah program pendidikan di sana. Mereka ialah James Choong, Sophia Ngiaw, Liew Kah Hoong dan Raee Yeoh.

The Cikgu Life

Disebabkan mereka tiada pengalaman dalam menghasilkan permainan papan, mereka mengambil masa kira-kira 1.5 tahun untuk mencapai produk siap sejak prototaip pertama mereka.

Menurut salah seorang penciptanya iaitu James, untuk menghasilkan idea permainan ini bukanlah mudah. “Memastikan ia tidak terlalu berat sebelah terhadap sesebuah sekolah atau fungsi Kad tertentu, dan dalam masa yang sama masih perlu mengekalkan realisme cabaran dan cerita yang dihadapi oleh guru setiap hari di dalam bilik darjah,” katanya.

“Sebagai contoh, penubuhan sebuah sekolah antarabangsa adalah berbeza dengan sekolah luar bandar, jadi bagaimana kami ingin mengolahnya dalam bentuk permainan, supaya tiada sekolah yang terlebih ‘kuat’ berbanding yang lain? Kami terpaksa melakukan banyak ujian bermain, dan kami sangat berterima kasih kepada Pereka Permainan Tabletop Malaysia kerana memberikan kami peluang untuk menguji permainan kami dan mengumpulkan maklum balas daripada orang ramai, “kata James.

The Cikgu Life 2

Dalam permainan The Cikgu Life, setiap pemain mengambil peranan sebagai seorang guru di sekolah yang berbeza, dan mereka berjuang untuk meningkatkan hasil pelajar di samping memastikan mereka menyelesaikan semua kertas kerja atau tugasan mereka.

Sepanjang permainan ini, akan ada acara di mana pemain perlu menggunakan kuasa mereka sebagai guru dalam memastikan pelajar mereka mendapat gred yang terbaik dan segala tugasan kertas kerja sebagai guru disiapkan.

Hanya dengan satu pusingan sahaja, pemain dapat melihat bahawa menjadi seorang guru bukanlah sesuatu pekerjaan yang mudah seperti dilihat dengan mata kasar. Tetapi kalau untuk tujuan permainan papan, kehidupan kerja yang sibuk itu sebenarnya sangat menyeronokkan untuk dimainkan.

Permainan ini boleh dimainkan di antara 2-5 pemain, untuk umur 14 dan ke atas. Jika anda ingin mengetahui dengan lebih lanjut mengenai The Cikgu Life klik di sini dan jika anda ingin membelinya boleh klik di sini. Permainan ini cuma berharga RM85 sahaja.

Sebelum ini, Galah Panjang ada memperkenalkan sebuah permainan kad berdasarkan impian rakyat Malaysia iaitu The Malaysian Dream. Klik pautan di bawah untuk bacaan lanjut.

The Malaysian Dream, Permainan Kad Berdasarkan Impian Rakyat Malaysia