Terbaru, Naib Presiden Pemasaran Bethesda mengumumkan bahawa pihaknya tidak akan melakukan sebarang pembentangan digital tahun ini bagi menggantikan acara E3 yang terpaksa dibatalkan disebabkan wabak Covid-19 yang melanda dunia ketika ini. Namun begitu, terdapat beberapa buah syarikat seperti Square Enix dan Microsoft akan terus melakukan pembentangan mereka secara digital.

Pengumuman tersebut dia buat oleh Pete Hines selaku Naib Presiden Pemasaran Bethesda melalui akaun Twitternya. Beliau mengatakan akibat pelbagai kesukaran yang dihadapi kerana pandemik Covid-19, mereka tidak akan melakukan pembentangan digital pada bulan Jun ini.

Pengumuman tersebut jelas membuatkan beberapa orang peminat mereka sedih dan tidak berpuas hati dengan tindakan Bethesda itu.

Walaupun begitu, Bethesda berjanji akan terus berkongsi perkara-perkara terbaru mengenai permainan mereka sepanjang tahun ini. Pemain-pemain pastinya sudah tidak sabar untuk mendengar berita mengenai permainan akan datang mereka seperti The Elder Scrolls VI, Ghostwire dan Starfield.

Bethesda-Ghostwire Tokyo

Bethesda-Starfield

Untuk makluman semua, pada 11 Mac yang lalu, pihak ESA (Entertainment Software Association) telah mengumumkan secara rasmi bahawa acara tahunan E3 (Electronic Entertainment Expo) bagi tahun 2020 terpaksa dibatalkan disebabkan wabak pandemik Coronavirus (Covid-19). Acara E3 2020 asalnya dirancang untuk diadakan pada 9 hingga 11 Jun 2020 ini di Amerika Syarikat.

Pihaknya berkata bahawa mereka membuat keputusan tersebut selepas mengambil kira pelbagai aspek termasuklah aspek keselamatan pengunjung dan pihak yang terlibat sepanjang acara tersebut diadakan.  Mereka juga menyatakan mereka mungkin akan mengadakan acara secara digital bagi menggantikan acara E3 yang dibatalkan tersebut pada bulan Jun ini.

Sebelum ini, pihak InXile Entertainment turut menganjak tarik pelancaran permainan mereka iaitu Wasteland 3 gara-gara wabak Covid-19 ini. Klik pautan di bawah untuk bacaan lanjut.

Wasteland 3 Dianjak Tarikh Pelancarannya Gara-Gara Wabak Covid-19