Activision dan Tencent telah pun melancarkan kemaskini terbaru untuk permainan mudah alih COD Mobile hari ini. Ia merupakan persediaan untuk musim ke-4 yang akan bermula pada 1 April 2020 sehingga 1 Jun 2020.

Di samping itu, Battle Pass baharu yang bakal menampilkan watak David Mason daripada Call of Duty: Black Ops 2 turut dilancarkan 1 April ini bersama-sama dengan musim ke-4 nanti.

Lebih menarik lagi untuk Battle Pass musim baharu ini, pemain bakal dianugerahkan dengan senjata Epic AK-47 apabila mencapai Tier 50.

COD Mobile

Selain itu, kemaskini terbaru ini juga menyertakan dua mod baharu iaitu Gun Game: Team Fight dan 2v2 Showdown;

1) Gun Game: Team Fight – Ia adalah versi lain untuk Team Deathmatch di mana senjata yangg digunakan akan meningkat ke tahap lebih baik dengan setiap pembunuhan dan dua sokongan. Pasukan yang terlebih dahulu mencapai 60 markah akan menang.

2) 2v2 Showdown – Dua pasukan yang terdiri daripada 2 pemain akan bertempur dengan senjata diberikan secara rawak dan akan bertukar setiap 2 pusingan. Pasukan pertama yang memenangi 6 pusingan akan menang.

Pihak Activision juga turut menyertakan peta baharu iaitu Meltdown yang merupakan peta daripada Call of Duty: Black Ops 2. Video untuk peta ini boleh ditonton di bawah.

COD Mobile sudah boleh dimuat turun di Google Playstore untuk peranti Android dan Appstore untuk peranti iOS. Call of Duty Mobile diterbitkan oleh Garena untuk pasaran Asia.