Baru-baru ini, AMD telah melaporkan bahawa terdapat seorang penggodam telah mencuri kod sumber buat konsol Xbox Series X bagi kandungan grafik konsol tersebut.
Menurut AMD, pada Disember tahun lalu, penggodam tersebut telah menghubungi pihak mereka di mana beliau dikatakan mempunyai kod sumber untuk beberapa produk grafik terkini dan masa hadapan AMD yang mana AMD kini menyatakan ianya telah pun dipadam.
Menurut laporan yang dikeluarkan oleh TorrentFreak, data yang dicuri ini telah dijumpai di dalam sebuah komputer yang digodam dan komputer tersebut mengandungi beberapa sumber kod untuk AMD Navi 10, Navi 21 dan Arden. AMD Arden dipercayai merupakan nama kod terdahulu bagi Xbox Series X. AMD kemudiannya telah memfailkan beberapa notis buat Microsoft melalui laman GitHub atas sebab laman tersebut digunakan sebagai lokasi kod sumber tersebut ditiriskan.
Penggodam tersebut membuat tuntutan sebanyak $100,000,000 untuk kod tersebut dan mengugut untuk membuang keseluruhan data yang dicuri jika pembeli tidak dijumpai.
Walau bagaimanapun, AMD menyatakan bahawa kod sumber yang dicuri tersebut bukanlah kod sumber utama yang akan memberi kesan terhadap sekuriti produk grafik mereka. Tambah AMD lagi, mereka tidak risau akan ugutan yang dibuat oleh penggodam walaupun beliau akan memuat-naik informasi tersebut.
Sebelum ini, Microsoft telah mendedahkan spesifikasi lengkap konsol Xbox Series X yang bakal hadir dalam tahun ini. Antara spesifikasi utama yang terdapat pada konsol permainan tersebut adalah kuasa cip pemprosesan 8 Teras, 3.8Ghz, memori RAM 16GB GDDR6.
Konsol ini juga mempunyai 1TB custom NVME SSD, dan akan siap untuk permainan 8K apabila pemaju akhirnya membangunkan permainan yang menggunakan resolusi ultra tinggi. Selain itu, Xbox versi terbaru ini juga turut menyokong storan luar HDD sehingga 1TB menerusi sambungan USB 3.2.
Beriku merupakan video prestasi Xbox Series X yang dipertontonkan oleh Microsoft ketika pengumuman tersebut dibuat.