Baru-baru ini, terdapat satu laporan daripada Bloomberg menyatakan bahawa Ubisoft telah memafailkan saman kepada Apple dan Google kerana memasarkan Area F2 di gedung aplikasi mereka iaitu App Store dan Play Store. Permainan mudah alih Area F2 dikatakan meniru permainan keluaran Ubisoft iaitu Tom Clancy’s Rainbow Six Siege.

Ubisoft mendakwa Area F2 meniru hampir sama dengan permainan shooter keluaran mereka itu. Permainan mudah alih tersebut dipercayai dihasilkan dengan tujuan untuk “menunggang” kejayaan Ubisoft dan memperoleh keuntungan dalam masa yang singkat.

Area F2 dibangunkan dan diterbitkan oleh Ejoy iaitu syarikat di bawah Alibaba dan juga Qookka Games itu didakwa meniru setiap aspek yang terdapat dalam Rainbow Six Siege dari segi corak permainan, penggunaan drone, dinding yang boleh dipecahkan, memanjat menggunakan tali dan sehinggakan mengunakan antara muka yang sama. Buat masa ini, tidak disahkan lagi jika Ubisoft turut mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka.

Apple Dan Google

Difahamkan, pihak Ubisoft telah memaklumkan isu pelanggaran hak cipta ini kepada Apple dan Google dan meminta mereka untuk menurunkan permainan tersebut daripada platform masing-masing. Namun begitu, kedua-duanya dilihat masih lagi tidak memperlakukan seperti yang diminta oleh Ubisoft itu. Jadi, disebabkan hal inilah yang membuatkan Ubisoft mengenakan tindakan undang-undang kepada kedua-dua syarikat gergasi tersebut.

Untuk makluman semua, Ubisoft tidak dapat mengambil tindakan dengan menyaman terus pembangun Area F2 adalah disebabkan perbezaan negara yang menjadi faktor utama tindakan ini tidak dapat dilakukan. Studio-studio tersebut yang berpangkalan di China, manakala Ubisoft pula berpangkalan di Perancis, maka untuk memfailkan saman hak cipta adalah sangat sukar dilakukan di negara asing.

Jadinya, Ubisoft menggunakan pendekatan lain dengan mendesak Apple dan Google untuk menurunkan permainan tersebut daripada platform masing-masing. Jika cara ini berjaya dilaksanakan, ianya akan memberikan sedikit sebanyak kerugian kepada permainan itu.

Alibaba memperoleh Ejoy pada tahun 2017 untuk meningkatkan kehadirannya dalam permainan atas talian dan mudah alih. Ejoy mula mempromosikan Area F2 di A.S. akhir tahun lalu melalui YouTube, Facebook, Instagram dan Twitter. Permainan ini tersedia untuk orang ramai untuk dimuat turun di telefon bimbit dan tablet bulan lalu

Permainan klon adalah sesuatu perkara yang biasa terutamanya dalam kategori permainan mudah alih ini, walaupun ia bukan satu perkara yang baik akan tetapi bentuk permainan adalah satu perkara yang tidak boleh didaftar sebagai hak cipta dan ini yang menjadikan agak sukar untuk mengambil tindakan terhadap masalah klon ini.

Sebelum ini, Ubisoft juga telah mengumumkan bahawa permainan terbaharu Assassin’s Creed akan dinamakan dengan Assassin’s Creed Valhalla. Klik pautan di bawah untuk bacaan lanjut.

Ubisoft Perlihatkan Trailer Rasmi Assassin’s Creed Valhalla Kepada Umum