Sebut sahaja tentang anime Black Clover, pastinya rata-rata peminat anime sudah tidak asing dengan siri tersebut. Black Clover merupakan salah satu siri manga paling berjaya di Shonen Jump sebaris dengan manga terkemuka yang lain seperti Naruto Shipudden, One Piece dan lain-lain.

Walaupun begitu, apabila adaptasi anime dikeluarkan, siri itu mengalami kesukaran pada permulaan tayangannya gara-gara visual animasi yang tidak menarik, animasi yang sering dikitar semula dan lain-lain lagi. Namun, selepas berpuluh-puluh episod telah ditayangkan, animasi bagi siri Black Clover telah berkembang dengan pesat. Terdapat beberapa penambahbaikan dilakukan dari segi visual dan illustrasinya. Dengan lebih daripada 100 episod, tiada apa yang boleh menghalang siri ini daripada menjadi lebih terkenal. Malangnya, laporan baru menunjukkan bahawa anime tersebut berkemungkinan akan ditangguhkan.

Anime Black Clover

Khabar angin tersebut ditulis oleh seorang pengguna Twitter dengan nama @Spytrue. Dia memberitahu bahawa “TV Anime Black Clover akan ditunda sekitar Episode 132″.

Sudah tentu, ramai peminat cepat memberi maklum balas terhadap berita itu, dan mereka tidak terlalu gembira dengan info tersebut. Tidak ada alasan langsung untuk penundaan itu tetapi ramai netizen yang memberi anggapan bahawa penundaan ini adalah disebabkan wabak pandemik Covid-19 yang sedang melanda dunia ketika ini dan menyebabkan gangguan di dalam industri anime. Ramai produksi tidak dapat menghasilkan episod baru untuk mereka, dan kita masih tidak tahu jika Black Clover ada baki episod yang sudah siap untuk ditayangkan.

Namun, ada juga peminat yang mengikuti siri manganya mengatakan bahawa siri anime tersebut sudah makin menghampiri dengan jalan cerita yang terdapat pada manga Black Clover, jadi siri tersebut harus diberhentikan sekejap, supaya penceritaan versi manga dapat mendahului ke hadapan.

Tidak ada maklumat untuk bila anime akan kembali, tetapi tayangan Black Clover akan dihentikan tidak lama lagi. Episod 132 dijadualkan keluar pada minggu ini, jadi berkemungkinan besar anime tersebut akan ditangguh sebelum bulan April berakhir. Sekiranya perkara itu berlaku, industri akan mengalami satu lagi isu. Setakat ini, anime seperti Re: Zero dan Sword Art Online telah ditangguhkan dan One Piece bakal mengikuti langkah yang sama.

Baru-baru ini, terdapat sebuah berita mengembirakan buat peminat komik One Piece apabila pelukis My Hero Academia akan membuat kolaborasi bersama manga One Piece. Klik pautan di bawah untuk bacaan lanjut.

Mangaka My Hero Academia Bakal Berkolaborasi Bersama One Piece