Nampaknya hajat peminat untuk menonton filem Uncharted dalam masa terdekat ini tidak akan kesampaian apabila filem tersebut ditangguhkan tarikh tayangannya disebabkan wabak Coronavirus yang sedang menular hampir semua negara ketika ini.

Beberapa minggu lalu, Sony bersetuju untuk menangguhkan pengambaran filem tersebut yang sepatutnya bermula awal April ini disebabkan wabak pandemik Covid-19 yang sedang melanda dunia ketika ini. Namun begitu, pihak Sony masih lagi menetapkan bahawa filem Uncharted ini tetap akan ditayangkan pada 5 Mac 2021.

Walau bagaimanapun, menurut laporan daripada GamesRadar, pihak Sony sekali lagi telah menganjakkan tarikh tayangan filem adaptasi dari francais permainan video yang dibangunkan Naughty Dog itu ke tarikh yang baharu, iaitu 8 Oktober 2021.

Uncharted

Selain itu, dua filem terkemuka Sony yang turut menerima nasib yang sama ialah Ghostbuster:Afterlife dan Marvel’s Morbius. Kedua-dua filem berkenaan dianjak tarikh tayangannya ke bulan Mac 2021.

Filem Uncharted ini akan diarahkan oleh Ruben Fleischer. Antara filem-filem arahan beliau ialah Zombieland dan Venom. Filem tersebut akan dibintangi oleh pelakon Spider-Man iaitu Tom Holland sebagai Nathan Drake dan Mark Wahlberg sebagai Sully, selain turut menampilkan Antonio Banderas, Sophia Ali dan Tati Gabrielle.

Sebelum ini pelbagai kontroversi yang timbul disebabkan filem ini, antaranya ialah pertukaran pelakon utama dan telah bertukar ganti pengarah sebanyak 7 kali. Nampaknya peminat mula hilang harapan untuk menonton filem ini dilayar perak. Walaupun begitu, marilah sama-sama kita nanti pengakhiran kepada kemelut yang melanda filem ini, adakah ia berjaya ditayangkan ataupun tidak.

Walau bagaimanapun, Sony mengumumkan bahawa wabak pandemik Covid-19 ini tidak akan meberi impak besar ketika pelancaran PlayStation 5 nanti. Klik pautan di bawah untuk bacaan lanjut.

Sony Umum Covid-19 Tidak Akan Memberi Impak Besar Ketika Hari Pelancaran PlayStation5 Nanti