Baru-baru ini, Google mengumumkan bahawa platform penstriman permainan video mereka iaitu Google Stadia, kini ditawarkan secara percuma kepada mereka yang mempunyai alamat Gmail. Lebih menarik lagi, pihak mereka juga memberikan dua bulan akses untuk Stadia Pro dan sembilan permainan video secara percuma kepada pengguna baru.

Menurut mereka lagi, Pelanggan Stadia Pro sedia ada tidak akan dikenakan sebarang caj untuk dua bulan perkhidmatan yang akan datang.

Google Stadia

Sebelum ini, akses kepada Stadia memerlukan pembelian sebanyak USD129 (~RM559) untuk Google Stadia edisi premium, pakej tersebut termasuk Chromecast ultra, alat kawalan tanpa wayar, tiga bulan akses Stadia Pro dan permainan percuma dengan paparan video dengan resolusi 4K 60 frame per saat.

Bermula 8 April lalu, akses kepada versi asas Stadia iaitu penstriman permainan yang maksimum pada resolusi 1080p akan diberikan secara percuma dengan mendaftar di laman web Stadia. Walau bagaimanapun, anda masih perlu membeli permainan video tersebut secara berasingan, tetapi permainan tersebut boleh dimainkan pada PC, tablet Chrome OS, Telefon pintar Google pixel, dan lain-lain peranti Android yang disokong.

Selain itu, pengguna juga boleh bermain permainan tersebut dengan menggunakan alat kawalan USB atau tetikus dan papan kekunci yang disokong oleh Stadia.

Antara permainan video yang boleh diakses secara percuma oleh pengguna Stadia Pro di bulan April ialah:

  • Destiny 2: The Collection
  • GRID
  • Gylt
  • SteamWorld Dig 2
  • SteamWorld Quest: Hand of Gilgamech
  • Serious Sam Collection
  • Spitlings
  • Stacks on Stacks (on Stacks)
  • Thumper

Selepas tamat tempoh percubaan dua bulan, Stadia Pro akan dicaj sebanyak USD9.99 (~RM43) sebulan. Pelanggan boleh membatalkan langganan mereka secara atas talian, jika anda memilih untuk berbuat demikian.

Untuk makluman semua, Stadia ialah suatu perkhidmatan permainan dalam awan yang dikendalikan oleh Google. Google Stadia dilancarkan pada bulan November tahun lepas dan kini boleh didapati di 14 negara. Platform ini mempunyai 38 permainan yang boleh dibeli, dan pihak Google berkata  “akan terdapat lebih daripada 120 permainan yang datang ke Stadia dalam 2020,” termasuk 10 daripada jumlah tersebut merupakan permainan video eksklusif hanya untuk Stadia.

Namun agak mendukacitakan ialah apabila perkhidmatan ini masih lagi belum tersedia untuk negara Malaysia. Namun begitu, pihak Google menyatakan bahawa pihaknya akan memperluaskan lagi perkhidmatan ini ke beberapa negara baru dalam masa terdekat ini. Sama-sama kita sabar dalam menantikan berita baik daripada mereka.

Baru-baru ini, Sony mengumumkan DualSense iaitu alat kawalan untuk konsol PS5. Klik pautan di bawah untuk bacaan lanjut.

DualSense, Controller PS5 Yang Diperlihatkan Secara Rasmi Hari Ini