Sony Interactive Entertainment hari ini akhirnya telah memperlihatkan secara rasmi alat kawalan PlayStation 5 untuk konsol PS5 yang akan datang iaitu DualSense. Pihak Sony kali ini menggunakan nafas baru apabila tidak lagi menggunakan nama DualShock untuk alat kawalan mereka, sebaliknya menukarkan nama tersebut kepada DualSense.
Sony telah mendedahkan reka bentuk controller terbaharu mereka itu di laman rasmi PlayStation Blog berserta beberapa butiran yang belum pernah didedahkan sebelum ini.
Menurut kenyataan Sony tersebut, DualSense akan mengunakan teknologi sokongan haptik dan picu penyesuaian. Sokongan haptik untuk alat kawalan ini mampu memberikan satu kelainan baharu kepada pemain, di mana mereka seakan-akan berinteraksi dengan dunia maya dalam permainan video PS5 nanti.
Manakala untuk picu penyesuaian yang terletak di butang L2 dan R2 pula kali ini melalui DualSense, ia akan mempunyai kesan rintangan berdasarkan apa yang pemain lakukan seperti menarik busur di mana lagi jauh ianya ditarik, picu tersebut akan menjadi lebih ‘berat’. Disebabkan penggunaan teknologi inilah yang membuatkan picu yang terdapat pada DualSense lebih tirus berbanding alat kawalan DualShock 4. Namun begitu Sony tidak akan mengorbankan keselesaan para pemain semasa memegang dan bermain.
Dari segi rekaannya pula, ianya mempunyai campuran berwarna putih dan hitam dan yang paling menarik minat kami adalah kali ini. Menurut Sony, pihaknya mengumumkan bahawa bermula dari sini, mereka akan menampilkan dua tona warna kepada DualSense. Di samping itu, alat kawalan ini tidak lagi mempunyai bar lampu yang besar di hadapan seperti yang terdapat di alat kawalan PlayStation 4, namun ianya hanya diletakkan di kiri dan kanan pad sesentuh.
Untuk analog pula, tiada perubahan ketara yang dilakukan pada bahagian analog. Ianya kelihatan seakan sama sahaja dengan DualShock 4 termasuklah juga rekaan Dpad. Dari segi bicu sambungan, dapat dilihat menerusi gambar yang dikongsikan tersebut, kelihatannya DualSense akan menggunakan sambungan USB C dan Sony turut mengesahkan bahawa alat kawalan ini mempunyai bateri yang dicas sama seperti yang terdapat pada DualShock 4 yang lalu.
Antara pembaharuan baru yang terdapat pada alat kawalan ini ialah butang ‘Home’ dan logo PlayStation juga kelihatan lebih berbentuk logo dan bukan lagi satu butang bulat yang besar. Atas daripada butang tersebut juga kita dapat lihat pembesar suara yang seakan sama dengan DualShock 4 sebelum ini.
Selain itu, DualSense akan dihadirkan dengan mikrofon terbina untuk para pemain agar berupaya berkomunikasi dengan segera bersama rakan-rakan. Namun ianya masih lagi menyokong fon kepala tambahan jika pemain ingin gunakannya.
Akhir sekali, butang ‘Share’ kini telah digantikan dengan butang ‘Create’ yang mana menurut Sony, kali ini ianya akan memberi lebih kebebasan buat pemain untuk kongsikan sebarang video ataupun paparan permainan. Namun, Sony akan berkongsikan dengan lebih lanjut tentang fungsi ini pada waktu ia semakin hampir dengan hari pelancaran.
Kenyataan Sony pada blog tersebut diakhiri dengan kata-kata daripada Presiden dan CEO Sony Interactive Entertainment iaitu Jim Ryan. Beliau menyatakan bahawa reka bentuk konsol pula akan didedahkan dalam masa beberapa bulan akan datang, dan waktu pelancarannya masih dijadualkan pada penghujung tahun 2020.
Sebelum ini, Sony menyatakan bahawa pihaknya yakin wabak pandemik Covid-19 tidak akan memberi impak besar ketika hari pelancaran PS5 nanti. Klik pautan di bawah untuk bacaan lanjut.
Sony Umum Covid-19 Tidak Akan Memberi Impak Besar Ketika Hari Pelancaran PlayStation5 Nanti